Wednesday 17 April 2024

KEGUNAAN BUAH KERAS DI DALAM MASAKAN

 
Buah keras merupakan sejenis tumbuhan berasal dari keluarga euphorbiaceae dan nama saintifiknya aleurites moluccanus. Di Malaysia ia dipanggil buah keras. Manakala di Indonesia pula, dikenali sebagai buah kemiri. Buahnya berwarna krim, lembut, berminyak dan berkulit keras.
 
Buah keras banyak digunakan di dalam masakan. Namun, tidak banyak yang tahu tentang kehebatan buah keras apabila digunakan di dalam masakan.
 
Rasa dan tekstur buah keras seakan kacang macadamia tetapi mempunyai fungsi dan khasiat yang berbeza.
 
Buah keras menjadikan gulai, sambal dan masakan menjadi pekat berlemak.
Malah membantu mengawet masakan menjadikan masakan susah basi walau pun tidak disimpan di dalam peti sejuk dan tidak diperangatkan selama 2-3 hari.
 
Ini kerana kandungan minyak yang terdapat di dalam buah keras. Minyak buah keras juga sangat berkhasiat.
 
Antara kegunaan atau manfaat buah keras dimasukkan di dalam masakan:
 
- Pemekat kuah. Buah keras sangat membantu dalam masakan yang berunsurkan sup atau kuah. Ia berfungsi sebagai bahan pemekat kuah.
 
- Penambah rasa - Buah keras digunakan untuk menghasilkan rasa lemak dan penyedap rasa dalam masakan. Terdapat pelbagai jenis masakan yang boleh dimasak menggunakan buah keras. Antaranya kari, masak merah, rendang, tumisan dan sebagainya.
 
- Lemak berkrim - Buah keras mempunyai kandungan minyak yang tinggi dan memberikan rasa lemak berkrim terhadap masakan. Oleh itu, buah keras sangat sesuai digunakan dalam masakan yang berunsurkan santan. Bukan sahaja rasanya lemak berkrim, ia juga mampu mengelakkan santan pecah ketika dimasak dalam jangka masa yang lama.
 
- Penambah aroma - Buah keras turut berfungsi sebagai penaik bau. Ia menguatkan dan meningkatkan lagi bau tumisan dan rempah ratus dalam masakan. Secara tidak langsung masakan menjadi lebih wangi dan sedap.
 
- Tahan lama - Buah keras yang dicampurkan ke dalam masakan rendang, bukan sahaja menjadikan masakan lebih berlemak bahkan turut memanjangkan jangka hayat masakan, bertahan lama biarpun tidak dipanaskan dalam masa dua hari.