Sunday, 22 May 2016

PELBAGAIKAN FUNGSI MASJID




Masjid perlu menjadi institusi yang penting dan dapat menarik minat umat Islam mengunjunginya dengan mengadakan pelbagai aktiviti.  

Masjid adalah institusi yang amat penting dalam Islam.  Pada zaman kegemilangan Islam, masjid menjadi pusat pentadbiran, kehakiman, sekolah, baitulmal, komunikasi dan sebagainya.  Masjid menjadi tempat yang mesti dikunjungi oleh setiap lelaki sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu untuk menunaikan fardu Jumaat.

Penekanan harus diberi bahawa masjid bukan hanya tempat untuk mengerjakan ibadah, sebaliknya digunakan oleh umat Islam bagi menganjurkan pelbagai kegiatan lain yang ada hubung kait dengan agama dan pada masa sama menjaga kesucian masjid sebagai tempat ibadah.

Masjid tidak harus menjadi tarikan kepada orang tua saja.  Golongan muda perlu lebih mendekati masjid dengan niat menunaikan tanggungjawab sebagai muslim dan melaksanakan keperluan lain berkaitan kehidupan seharian. 

Justeru, pihak pengurusan masjid perlu memikirkan bagaimana masjid dapat dibangunkan untuk tujuan pelbagai fungsi, kalaupun tidak menyamai apa yang wujud pada zaman Rasulullah, sudah memadai jika suasana suram masjid dapat diubah menjadi lebih ceria.   

Perkara yang perlu difikirkan ialah memaksimunkan kemudahan yang terdapat di kawasan masjid.  Bangunan masjid tidak sepatutnya hanya memiliki dewan sembahyang dan beberapa kemudahan asas seperti tempat ambil sembahyang dan tandas saja seperti yang terdapat di kebanyakan masjid.

Untuk meningkatkan aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan masjid, perlu kepada bangunan atau bahagian yang dikhas untuk kegunaan lain.  Maksudnya di sini, kepelbagaian aktiviti yang dirancangkan bukan saja tertumpu di dalam masjid, kerana aktiviti yang dibenarkan atau sesuai diadakan di situ agak terhad.

Masjid boleh berperanan menjadi tempat perhentian setempat (one stop center) yang menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan masyarakat setempat dan pengunjung luar.  Contohnya, di kawasan masjid boleh diadakan kemudahan asrama atau hostel, ruang perniagaan, bilik bacaan, dewan mesyuarat, pusat tuisyen, kemudahan komputer dan restoran. 

Kemudahan ini mungkin sukar disediakan di masjid yang kawasannya agak terhad, tetapi diperhatikan kebanyakan masjid masih mempunyai ruang untuk tujuan itu.  Banyak kawasan masjid yang luas tidak dimanfaatkan sepenuhnya. 

Perkhidmatan yang disediakan dapat memberi sumber kewangan kepada masjid melalui penyewaan, bayaran perkhidmatan atau keuntungan perniagaan.  Sekarang ini hasil pendapatan masjid biasanya hanya mengharapkan kepada sedekah para jemaah.  Ia agak terhad sekadar dapat cukup menampung bayaran pengurusan masjid.

Untuk menjayakan khidmat yang ingin ditawarkan, guna tenaga dan kepakaran ahli kariah boleh digunakan mengikut kepakaran masing-masing.  Penyertaan pelbagai golongan itu mewujudkan hubungan erat ahli kariah tanpa mengira profesion.  Tugasan ini dianggap khidmat jariah pada masa lapang. 

Penyertaan golongan profesional bergabung dengan ahli masjid memberi satu perpektif bahawa masjid bukan hanya untuk golongan alim agama saja.  Ini dapat menarik minat semua lapisan masyarakat mendampingi masjid dengan perasaan terbuka.      

Bagi yang melakukan tugasan secara harian, bayaran gaji boleh dilakukan menggunakan sumber keuntungan yang diperoleh.  Ia memberi peluang pekerjaan kepada ahli kariah dan membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Sekiranya kemudahan itu diadakan, masjid mampu berfungsi sebagai penjana ekonomi, kecemerlangan ilmu dan khidmat komuniti yang diadakan secara penglibatan ahli kariah.  Ini sejajar dengan perananan masjid yang dituntut dalam Islam yang tidak hanya terhad sebagai tempat sembahyang semata-mata.


Untuk melibatkan lebih banyak ahli kariah, kerja-kerja pengurusan dan pengindahan masjid mesti diadakan secara gotong royong.  Tindakan pengurusan masjid yang mengupah pekerja atau kontraktor melakukan tugas-tugas pembersihan dan pengindahan kawasan masjid hanya menghadkan penyertaan ahli kariah. 

No comments:

Post a Comment